Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang
isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan
kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di
antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering
memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.
Pedagang
itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan
isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya
ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau
isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.
Begitu
juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia
adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa
pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan
isterinya yang kedua ini. dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong
dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.
Sama
halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat
setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. dialah
yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi
si pedangang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini
begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu
memperdulikannya.
Suatu ketika, si pedagang sakit.
Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama
lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam
hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku
meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup
sendiri."
Lalu dia meminta semua isterinya datang dan
kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling
kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku
akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya
terdiam. "Tentu saja tidak!" jawab isterinya yang keempat, dan pergi
begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan
hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.
Pedagang
yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun
mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah
kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?". Isteri ketiganya
menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau
mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.
Lalu,
dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu
setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku
perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan
mendampingiku? " Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku tak
mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur
saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu."
Jawapan itu seperti kilat yang menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa.
Tiba-tiba
terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke
manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia
bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati
isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri pertamanya tampak begitu
kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si
pedagang lalu berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada
saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku."
Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;
ISTERI KEEMPAT adalah
tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk
tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan
pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan
yang tersisa saat kita menghadapNYA.
ISTERI KETIGA
adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya
akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita
yang pernah memilikinya.
ISTERI KEDUA
pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita
dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya
sampai kuburlah mereka akan menemani kita.
DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering
mengabaikan
dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun,
sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus
setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu
menolong kita diakhirat kelak.
Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!
0 comments:
Post a Comment