Get your own Digital Clock

Showing posts with label Addin. Show all posts
Showing posts with label Addin. Show all posts

Tuesday, 28 February 2012

Dalil Hukum Hudud

1. UMNO/BN Menghina Hukum Allah 

Terlalu banyak kenyataan pemimpin UMNO yang telah dengan terang-terangan menolak hukum Islam atau syariat Islam dan negara Islam. Bukan sahaja mereka enggan, bahkan telah turut menghina hukum Allah swt. itu sebagai primitif, kolot, dan akan merugikan umat Islam. Secara tidak langsung mereka seolah-olah mendakwa bahawa merekalah yang lebih bijak dalam memutuskan hukum-hakam yang sudah pun ditetapkan oleh Allah swt di dalam al-Quran. Sikap ini bukan sahaja berdosa, malah boleh mencacatkan aqidah mereka dan membawa mereka keluar dari agama Islam.Di bawah ini diperturunkan sebahagian dari kata-kata pemimpin UMNO yang mungkin sudah diketahui ramai.

Kenyataan mereka:

'Hukum rejam kepada penzina adalah primitif'. (Mahathir: 3/3/94) 

'Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja'. (Mahathir: 14/7/92)

'Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama'. (Mahathir: 2/5/92)

'Saya akan memastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh BN tidak akan melaksanakan hukum hudud'. (Mahathir: 1994)

'Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam'. (Mahathir:14/8/94)

'Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasiq'. (Mahathir:3 Mac, Nilam Puri). 

'Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan'. (Najib: 20/4/93)

'Apa erti negara Islam jika mundur'. (Abdullah Ahmad Badawi: 13/11/99)

Percanggahan dengan dalil-dalil Al-Quran

"Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka adalah orang-orang yang kafir" (al-Maidah: 44)

"Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka adalah orang-orang yang zalim" (al-Maidah:45)

"Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka adalah orang-orang yang fasiq" (al-Maidah:47)

"Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Quran dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya (iaitu kitab-kitab sebelumnya), maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu".
 (al-Maidah:48)

"Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka. Dan berhati-hatilah kamu terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling dari hukum Allah, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah mengkehendaki akan menimpakan musibah kepada mereka disebabkan dosa-dosa mereka" (al-Maidah:49)

"Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik dari hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?" (al-Maidah:50)

"Menetapkan hukuman itu hanyalah haq Allah swt." (al-An'am:57)

"Celupan Allah (yang lebih baik), siapakah yang lebih baik dari celupan Allah?" (al-Baqarah:138)

"Maka demi Tuhanmu mereka (pada hakikatnya) tidaklah beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasakan dalam hati mereka suatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya" (al-Nisa':65)

"Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mu'min dan perempuan yang mu'min apabila Allah dan RasulNya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain. Dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat, sesat yang nyata" (al-Ahzab:36)


Apakah masih ada umat Islam yang mahu menyokong golongan sesat yang telah menghina hukum Allah ini?.


2. UMNO/BN Tidak Melaksanakan Hukum ALLAH

Ekoran dari penolakan dan penghinaan pemimpin UMNO terhadap pelaksanaan hukum Allah, maka telah menjadikan mereka ini di kalangan manusia yang hanya beriman kepada sebahagian daripada al-Quran dan menolak sebahagian yang lain. Sedangkan apa sahaja yang diturunkan oleh Allah swt dan dari Sunnah Rasul s.a.w semuanya adalah WAJIB bagi setiap umat Islam melaksanakannya tanpa memilih mengikut selera masing-masing.

"Apakah kamu beriman kepada sebahagian daripada Kitab dan engkar kepada sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu melainkan kenistaan dalam kehidupan di dunia dan pada hari Qiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perlakukan"
(Mafhum al-Quran, al-Baqrah:85)

Umat Islam di Malaysia ini semuanya berdosa jika mereka redha dengan tidak terlaksananya hukum ALlah ini ekoran dari sikap mereka yang mengundi wakil rakyat dari parti yang menolak hukum Islam. Tiada alasan yang boleh diberikan untuk tidak melaksanakan ayat-ayat Allah ini sepertimana tiada alasan yang boleh diberika untuk meninggalkan sembahyang!. Samada dalih kerana peredaran zaman, atau masyarakat majmuk atau sebagainya, semuanya karut belaka dan hukum Islam masih tetap menjadi kemestian untuk dilaksanakan kerana al-Quran dan Sunnah Rasul s.a.w sesuai sehingga hari Qiamat.

Di bawah ini diperturunkan sebahagian dari hukum-hukum Islam (hudud) yang tidak dilaksanakan oleh kerajaan UMNO/BN.

a. Zina

(a) Bagi yang bukan muhsan (belum pernah melakukan persetubuhan yang sah) 

"Penzina-penzina perempuan dan penzia lelaki hendaklah kamu sebat 100 kali"

(Mafhum al-Quran, al-Nur:2)

(b) Bagi yang muhsan (pernah merasai persetubuhan yang sah)

"Ya Anis, pergilah kepada perempuan ini, maka jika dia mengaku (berzina) rejamlah dia"

(Hadis Sahih Muslim:Vol III, hal.1324-25)

b. Qazf (menuduh zina)

"Dan mereka yang membuat tuduhan zina kepada perempuan-perempuan suci daripada zina kemudian mereka tidak membawa empat orang saksi maka deralah mereka sebanyak 80 kali rotan dan janganlah kamu terima kesaksian mereka selama-lamanya dan mereka inilah orang-orang fasiq"

(Mafhum al-Quran, al-Nur:4)

c. Mencuri

"Pencuri lelaki dan pencuri perempuan maka potonglah tangan mereka sebagai balasan dengan apa yang dilakukan sebagai siksaan dari Allah"

(Mafhum al-Quran, al-Maidah:38) 

d. Harabah (merompak)

"Sesungguhnya balasan mereka yang memerangi Allah dan RasulNya dan melakukan keroskan di muka bumi hendaklah mereka dibunuh, atau disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka berselang seli atau dinafikan mereka di muka bumi"

(Mafhum al-Quran, al-Maidah:33-34)e. Meminum Arak (khamr)

Diriwayatkan dari Anas bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah didatangi seorang lelaki yang meminum arak, kemudian beliau telah menyebat dengan dua pelepah tamar lebih kurang empat puluh sebatan.

(Fath al-Qadir, Ibn al-Human, jilid 4, hal.185, Sahih Muslim, jilid 2, hal.57)

f. Murtad

"Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia"

(Sunan Abu Dawud, jilid 2, hal.440)

g. Qisos (bunuh balas)

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisos (bunuh balas) berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh; orang merdeka dengan orang merdeka; hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita. Maka barangsiapa yang mendapat kemaafan dari saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar diyat kepada pemberi maaf dengan cara yang baik pula"

(Mafhum al-Quran: al-Baqarah: 178)

[Kerajaan UMNO/BN telah meletakkan hak memberi pengampunan kepada orang yang didapati bersalah membunuh kepada Lembaga Pengampunan yang diketuai oleh Agong, sedangkan dalam Islam hak itu adalah mutlak terletak kepada keluarga mangsa yang dibunuh seperti ayat di atas. Justeru itu, Kerajaan UMNO/BN melalui Lembaga Pengampunan, telah membebaskan Mokhtar Hashim walaupun disabitkan bersalah membunuh Allahyarham Dato Taha tanpa beliau perlu mendapatkan kemaafan dari keluarga Dato' Taha dan membayar diyat seperti yang dikehendaki oleh Islam.]

Kesimpulannya, melaksanakan hukum Islam dan menegakkan negara Islam bukan merupakan idea atau kehendak para pemimpin PAS atau para ulama' PAS atau mana-mana ulama di atas muka bumi ini, tetapi ianya merupakan suatu perintah ALlah yang wajib dilaksanakan tanpa ada pilihan lain, oleh setiap manusia yang mengaku Islam seperti mana wajibnya seseorang Islam itu mendirikan sembahyang, berpuasa, berzakat, mengerjakan haji dan mengikuti perintah-perintah Allah yang lain.

Apakah masih ada umat Islam yang mahu menyokong golongan yang beriman kepada hanya sebahagian daripada al-Quran dan engkar sebahagian yang lain?.

Friday, 17 February 2012

Antara POLITIK & ISLAM


1. Ada ke Politik dalam Islam?

A) Dalil Al-Quran

Politik dalam bahasa Arab disebut sebagai siasah.Menurut bahasa ditakrifkan sebagai sasa- yasusu-siasatan wa riasah yang membawa maksud tadbir,perintah ataupun mengetuai.
Dalam surah Al-Baqarah: 30;




Imam Al-Mawardi telah menafsirkan peranan khalifah sebagai pentadbir bumi bagi mengelakkan berlakunya kerosakan. Dalam Kitab Al-Ahkam Sultaniyyah, Al-Mawardi menggariskan peranan khalifah sebagai mentadbir urusan manusia dan urusan dunia (siasah) dengan syariat Deen

B) Sirah Nabi

Kita lihat sirah perjalanan Baginda Nabi Muhammad S.A.W. ketika mana baginda menubuhkan Negara Islam pertama di dunia iaitu Madinah Al-Munawwarah. Nabi ketika itu bukan sahaja bertindak sebagai seorang penyampai risalah kenabian,mengajak kea rah ma’ruf dan mecegah kemungkaran akan tetapi baginda juga merupakan seorang pemimpin politik /pentadbir Negara.Kalau di sini,kita boleh katakan Dato’ Seri Perdana Menteri. Kemudian,disusuli dengan pengisytiharan Perlembagaan Madinah ataupun Sahifah Madinah sebagai teras pentadbiran kerajaan Madinah pada masa itu

C) Hadith

Hadis ke -34,dalam Matan Arbain karangan Imam Muhyidin abu Zakariyya Yahya Bin sharif Al-Nawawi ;

“ Dari Abi Sa’id al-Khudri RA katanya;Aku dengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya.Jika sekiranya ia tidak berkuasa,maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya.Sekiranya dia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu adalah selemah-lemahnya iman.”

Riwayat oleh Muslim

Dalam kitab itu turut disyarahkan peringkat-peringkat mencegah kemungkaran.Peringkat yang tertinggi sekali itu dinyatakan secara jelas dengan menggunakan tangan yakni dengan kekuatan atau dengan kekuasaan orangnya menurut cara yang berkesan.

Hal ini merujuk kepada kuasa pentadbiran.Dalam konteks Negara maka ia akan berkaitan dengan sistem pemerolehan kuasa tersebut sama ada melalui perlantikan mahupun pilihan raya.Pokoknya,ia menyentuh tentang sistem politik ataupun sistem pentadbiran sesebuah Negara/negeri/kawasan/masyarakat.

D) Pendapat Imam

D1. Imam Al-Ghazali menyatakan bahawasanya

“Ad-Dinul usul wa sultanun harisun”

Maksudnya: Agama itu pokok dan pemerintah itulah penjaganya.

D2. Ibnu Taimiyyah di dalam bukunya "Assiyasah al-Syariyyah" menyatakan:

“Mengendalikan urusan orang ramai (rakyat) adalah kewajipan agama yang besar, dan agama tidak mungkin ditegakkan kecuali dengan kekuasaan memerintah”

D3. Ghiyas al-umam ditegaskan:

“Apabila menyempurnakan jenazah orang mati dikira sebagai fardu kifayah, maka mengendalikan urusan hidup mereka adalah lebih penting dan utama.Sesungguhnya Islam begitu sekali memerlukan kerajaan yang dapat berfungsi menegak dan memelihara agama, maka mewujudkan kerajaan Islam adalah sesuatu yang wajib untuk tujuan mengawal aqidah, mendirikan solat dan menghukum mereka yang meninggalkan rukun Islam, juga untuk tujuan mengawal negara, manusia dan kehormatan mereka (hudud) juga melakukan jihad, mendidik umat Islam, dan menegakkan sistem politik, ekonomi dan kebudayaan islam“
(Lihat Dr Mustafa Farghali: "Fi wajh al-Muamarah `Ala Tatbiq al-Syariah al-Islamiyyah")

Maka amat penting dalam kita mengambil secara syumulnya Islam.Dakwaan liar dan tidak bertanggungjawab mengatakan politik tidak ada dalam islam adalah satu usaha pemisahan Islam daripada elemen kehidupan manusia dan ini merupakan usaha pensekularan yang dipelopori oleh golongan sekular sejak dahulu lagi seperti Syeikh Abdul Raziq di Mesir dll.

Amatlah bertepatan dengan salah satu sifat Islam iaitu syumuliah iaitu sempurna yakni Islam itu sifatnya mencakupi seluruh kehidupan manusia. Sesuai dengan gesaan Allah SWT;




2. Ada ke undi dalam islam?

Ingin saya petik daripada laman web ustaz zaharuddin(UZAR) berkenaan isu pilihanraya. Beliau menyatakan dalam lamannya;

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitab beliau “Fiqh Awlawiyyat fi Dhaw Al-Quran wa AS-Sunnah” menegaskan kepentingan untuk memahami Maqasid berbanding hanya terikat dan memegang buta kepada nas zohir. (rujuk bab Kepentingan Maqasid atas Zohir ).

Lalu dalam hal ini maksud pilihanraya yang utama adalah proses melantik pimpinan yang diyakini rakyat. Sikap Islam dalam hal ini adalah jelas menerima dan sememangnya Rasulullah SAW di permulaan dakwah juga melakukan kempen serta lobi bagi menerangkan kepada rakyat Mekah malah luar Mekah agar meyakini baginda dan seterusnya menganut Islam.

Mengenai kaedah mengundi bagi urusan pilihanraya, ia juga diterima oleh Islam memandangkan ia merupakan satu perkara baru dalam hal keduniaan serta tiada nas qat’ie yang melarang, perlu difahami kaedah yang disebut oleh Imam As-Syatibi ertinya : “Asal dalam urusan mualamat dan adat adalah merujuk kepada ma’ani (maqasid)”. (Rujuk Al-Muwafaqat : 2/302).

Maka urusan hubungan politik seperti pilihanraya ini perlulah dilihat kepada maqasid juga, bukan sekadar berhujjah bahawa ia tiada di zaman Nabi ini.

Islam tiada masalah dalam menerima kaedah baru ini apatah lagi ia boleh di ‘qias’ kan dalam perkara KESAKSIAN. Firman Allah :

(وأشهدوا ذوى عدل منكم ..(الطلاق
(At-Thalaq:2)
Mafhum : “Bersaksilah dengan mereka yang adil dr kalangan kamu”

Undi merupakan satu kesaksian rakyat terhadap penerintah yang dipilihnya dari sudut Islam, kebaikan dan kelayakan si calon, dan Islam meletakkan pertimbangan undian atau kesaksian tidak boleh kerana lain dari Allah sebagaimana firman Allah :

Mafhum : “Berikanlah penyaksian kerana Allah….”(Thalaq:2)

Kesimpulannya kaedah mengundi itu adalah selaras dengan kehendak syara’ dan tidak tidak ada pertentangan walaupun ia merupakan perkara baru dalam hal keduniaan ini.



3. Kenapa saya WAJIB mengundi?

“dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan barangsiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya ia adalah orang yang berdosa hatinya; dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Baqarah:283)

Dalil di atas menggesa kepada kita supaya tidaklah kita menyembunyikan penyaksian kita.Sekiranya dibawa kepada konteks mengundi, maka perintah mengundi(memberi kesaksian) itu boleh dikatakan sampai ke peringkat wajib kerana wajibnya memilih pimpinan yang selayaknya serta dapat berlaku adil.

Seperti mana dijelaskan lagi oleh UZAR;

Amat jelas terang lagi nyata, sikap Islam dalam hal penyaksian (yang boleh meliputi undian dan pilihanraya) adalah harus malah mungkin sampai ke tahap wajib menyertainya dan keluar mengundi apabila keengganan itu boleh menyebabkan ketewasan calon yang bertaqwa dan ingin melaksanakan Islam.

Manakala sekiranya Islam memerintah, sistem tersebut boleh diteruskan, cuma perlu diletak beberapa syarat dan panduan, insyaAllah ia akan bertepatan dengan Islam sepenuhnya.



4. Bukankah demokrasi itu tidak ada dalam Islam tetapi dari barat?

Sememangnya demokrasi bukan lah dari Islam akan tetapi seperti mana yang pernah ditegaskan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi bahawasanya kita bukanlah beriman dengan sistem ini akan tetapi inilah cara yang terbaik berbanding cara lain seperti revolusi dan tindakan ketenteraan bagi menegakkan sistem pemerintahan yang memelihara dan mendokong islam sendiri.Saya paparkan sendiri kata-katanya yang cukup tegas dan mapan untuk sama -sama kita fahami;

"DENGAN SYARAT HANYA MENGAMBILNYA SEBAGAI ALAT, TANPA REDHA DENGAN SISTEM INI, DAN SENTIASA BERUSAHA AGAR DAPAT MENGUASAI SUASANA PARLIMEN AGAR TIDAK MENAFIKAN HAK PERUNDANGAN MILIK ALLAH"
(Min Fiqh Ad-Dawlah Fil Islam, Al-Qaradhawi, hlm 140)

Thursday, 12 January 2012

Sahutan Tetamu Terakhir


Saudaraku, tahukah siapa tetamu terakhir yang akan mengunjungimu? Tahukah anda apa tujuan ia menziarahi dan menemuimu? Apakah hajatnya darimu? 

Ketahuilah! Ia tidak datang kerana dahagakan hartamu, atau kerana ingin menikmati hidangan lazat bersamamu, atau meminta bantuanmu untuk membayar hutangnya, atau memintamu memberikan sokongan kepada seseorang atau untuk menyelesaikan urusan yang tidak mampu ia selesaikan!! 

Walaupun anda tinggal di istana-istana yang tinggi, berlindung di benteng-benteng yang kukuh dan di menara-menara yang kuat, dikawal dengan ketat, anda tidak dapat mencegahnya masuk untuk menemuimu dan menunaikan urusannya denganmu!! 

Untuk menemuimu, ia tidak perlu pintu masuk, atau meminta izin, dan membuat temujanji terlebih dahulu sebelum datang. Ia akan datang bila-bila dan dalam keadaan apapun; ketika kamu sedang sibuk ataupun lapang, sedang sehat ataupun sedang sakit, semasa kamu masih kaya ataupun sedang melarat, ketika kamu sedang bemusafir atau pun tinggal di tempatmu.!! 

Sungguh! Ia hanya menginginkan dirimu saja, bukan orang lain! Ia menginginkanmu semuanya bukan separuh badanmu! Ia ingin membinasakanmu! Ia ingin kematian dan mencabut nyawamu! Menghancurkan raga dan mematikan tubuhmu! Dia lah malaikat maut!!! 

Berhati-hatilah! 

Tahukah kamu bahwa kunjungan Malaikat Maut kepadamu akan mengakhiri hidupmu? Menyudahi aktivitimu? Dan menutup lembaran-lembaran amalmu? 

Tahukah kamu, setelah kunjungan-nya itu kamu tidak akan dapat lagi melakukan satu kebaikan pun? Tidak dapat melakukan soalat dua raka'at? Tidak dapat membaca satu ayat pun dari kitab-Nya? Tidak dapat bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, beristighfar walau pun sekali? Tidak dapat berpuasa walaupun sehari? Bersedekah dengan sesuatu meskipun sedikit? Tidak dapat melakukan haji dan umrah? Tidak dapat berbuat baik kepada kerabat atau pun tetangga? 

‘Kontrak' amalmu sudah berakhir dan engkau hanya menunggu perhitungan dan pembalasan atas kebaikan atau keburukanmu!! 

Persiapkanlah Dirimu! 

Mana persiapanmu untuk menemui Malaikat Maut? Mana persiapanmu untuk menyongsong huru-hara setelahnya; di alam kubur ketika menghadapi pertanyaan, ketika di Padang Mahsyar, ketika hari Hisab, ketika ditimbang, ketika diperlihatkan lembaran amal kebaikan, ketika melintasi Shirath dan berdiri di hadapan Allah Al-Jabbar? Dari ‘Adi bin Hatim r.a. dia berkata,: Rasulullah s.a.w. bersabda,"Tidak seorang pun dari kamu melainkan akan diajak bicara oleh Allah pada hari Kiamat, tidak ada penterjemah antara dirinya dan Dia, lalu ia memandang yang lebih beruntung darinya, maka ia tidak melihat kecuali apa yang telah diberikannya dan memandang yang lebih malang darinya, maka ia tidak melihat selain apa yang telah diberikannya. Lalu memandang di hadapannya, maka ia tidak melihat selain neraka yang berada di hadapan mukanya. Kerana itu, takutlah api neraka walau pun dengan sebelah biji kurma dan walau pun dengan ucapan yang baik." (Muttafaqun 'alaih) 

Hitungkanlah Dirimu! 

Saudaraku, bermuhasabahlah ke atas dirimu di saat masa lapang mu, fikirkanlah betapa cepat akan berakhirnya masa hidupmu, bekerjalah dengan sungguh-sungguh di masa lapangmu untuk masa sulit dan keperluanmu, renungkanlah sebelum melakukan suatu pekerjaan yang kelak akan dicatit di lembaran amalmu. Di mana harta benda yang telah kau kumpulkan? Apakah ia dapat menyelamatkanmu dari cubaan dan huru-hara itu? Sungguh, tidak! Kamu akan meninggalkannya untuk orang yang tidak pernah menyanjungmu dan maju dengan membawa dosa kepada Yang tidak akan bertolak ansur denganmu!

by: husnul_ieman

Friday, 6 January 2012

Nikah Khitbah: Penyelesaian atau Permasalahan


Sedang pelbagai pihak seperti buntu mencari penyelesaian kepada barah sosial yang menjurus kepada pergaulan dan seks bebas (zina) serta rogol dan buang bayi berleluasa pada hari ini, saya menyarankan satu program atau projek besar iaitu "Taysir az Ziwaj" dilaksanakan, khasnya oleh pihak berwajib.
Taysir Az Ziwaj ialah "Permudahkan Proses Perkahwinan" terutama kepada anak-anak muda yang tidak berkemampuan dari segi material untuk mendirikan rumahtangga tetapi dalam masa yang sama mempunyai keinginan yang tinggi untuk hidup berpasangan.
Islam adalah agama yang penuh dengan rahmah dan berkah. Ia diutuskan oleh Allah swt Tuhan yang mencipta manusia bukan untuk menghalang atau menidakkan keperluan manusia seperti keinginan (nafsu) syahwah dan sebagainya tetapi Islam datang untuk membetulkan dan memandu manusia agar melunas keinginannya secara yang betul, benar dan baik.
Gejala seks bebas (zina) dan rogol adalah angkara nafsu yang tidak terkawal dan ia disalurkan secara tidak betul, tidak benar dan membawa keburukan kepada diri dan orang lain. Sedang Islam menggalakkan perkahwinan (aqad nikah) agar hati manusia tenteram dan tenang serta nafsu dapat dikawal. Ini membawa kebaikan kepada semua ummat manusia.
Firman Allah swt yang bermaksud :
"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah swt Maha Luas rahmat dan kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui." (Surah An-Nuur : Ayat 32)
Perkahwinan yang digalakkan oleh Islam ini sewajarnya dipermudahkan prosesnya agar generasi muda negara tidak liar dan kemaruk nafsu lalu terjebak dalam kancah seks bebas (zina). Memudahkan prosesnya boleh dilakukan oleh pihak berwajib (kerajaan) seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :
  • Memberi peruntukan kepada pasangan muda yang ingin berkahwin
  • Memberi insentif sebagai galakan berkahwin
  • Mengurangkan karenah birokrasi yang menyulitkan
  • Kursus dan khidmat bimbingan perkahwinan secara percuma
  • Menganjurkan perkahwinan beramai-ramai yang menjimatkan
  • Mendidik masyarakat dengan budaya sederhana dalam majlis perkahwinan
  • Merendahkan hantaran perkahwinan
Antara kaedah mempermudahkan proses perkahwinan ini ialah Nikah Khitbah atau dalam bahasa mudah disebut oleh masyarakat kita sebagai Nikah Gantung. Nikah Khitbah adalah sama seperti nikah biasa mengikut hukum dan perundangan Islam yang mempunyai 5 rukunnya iaitu :
  • Suami
  • Isteri
  • Wali
  • Saksi
  • Aqad (Ijab Qabul)
Cuma bezanya ialah pasangan pengantin (suami isteri) tidak tinggal serumah dalam tempoh-tempoh tertentu kerana beberapa keadaan seperti (sekadar menyebut beberapa contoh) :
  • Masih menuntut di kolej atau universiti
  • Tidak mempunyai kemampuan menyewa rumah
  • Belum bersedia menanggung komitmen kehidupan berumahtangga
Justeru itu , buat tempoh tertentu pasangan suami isteri yang telah dinikahkan itu tinggal berasingan (atas persetujuan bersama kedua-dua pihak) dan barangkali tinggal bersama keluarga masing-masing sehinggalah mereka merasakan segala halangan di atas telah selesai dan mereka benar-benar bersedia mengharungi kehidupan berumahtangga yang besar tanggungjawabnya.
Kelebihan Nikah Gantung
Kelebihan Nikah Gantung ini ialah mereka adalah pasangan suami isteri yang sah mengikut hukum agama dan undang-undang negara. Andai dalam tempoh itu mereka bertemu, keluar makan, dating, study bersama bahkan kalau mereka terlanjur sekalipun mengadakan hubungan seks, maka apa yang mereka lakukan itu tidak salah atau tidak haram.
Andai berlaku kehamilan, maka pasangan itu tidak perlu panik terutama pihak gadis yang hamil kerana ia menghamilkan anaknya yang sah nasab (keturunan). Bahkan nanti mereka tidak perlu malu dan menjauhkan diri dari keluarga kerana keluarga pula akan menyambut kedatangan bayi itu dengan bangga dan bermaruah.
 Kes buang bayi yang berleluasa hari ini rata-ratanya adalah ekoran rasa panik dan hilang pertimbangan akibat malu dan hilang maruah dari pasangan terbabit. Malah mereka juga takut untuk kembali kepangkuan keluarga justeru mereka mengetahui bahawa hubungan mereka salah dan mereka hamil hasil hubungan terlarang. Ia memalukan keluarga dan mencemarkan maruah bangsa dan agama. Akhirnya, jalan pintas dan terdesak yang ada pada mereka ialah buang bayi tersebut dengan harapan selesai masaalah dan beban yang mereka hadapi tanpa mereka menyedari bahawa akan mencetus bencana yang lebih parah kepada sosial negara.
Penerimaan Masyarakat
Sebenarnya Nikah Khitbah ini pernah dilakukan dalam masyarakat Arab. Menurut amalan tersebut, sewaktu majlis pertunangan, ia dilangsungkan sekali dengan majlis aqad nikah (halflun nikah) tetapi mempelai tidak boleh tinggal sekali (serumah) sehingga berlangsungnya pula majlis perkahwinan (haflul Qiran). Terkadang tempoh itu (antara pertunangan dan perkahwinan) menjangkau tahun lamanya.
Dalam masyarakat Melayu, amalan ini sebenarnya pernah diamalkan sebelum ini dengan namaNikah Gantung. Ia pernah dikaji oleh beberapa Anthropologist seperti Paletz, Djamour dan Jones. Mereka mengistilahkan Nikah Gantung sebagai "Suspended Marriage Contract" iaitu satu fenomena sosial yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Asia tenggara.
Malah menurut Abdul Jalil Borhan, perkara yang berkaitan dengan Nikah Gantung terdapat dalam seksyen 112 (dalam bahagian 5) enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor.
Perbahasan Hukum
Salah satu dalil yang digunakan oleh sebahagian para alim ulama' ialah Perkahwinan Rasulullah saw dengan Aishah rha. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah mengahwini Aishah ketika berumur 6 tahun dan hanya duduk serumah ketika Aishah berumur 9 tahun. Hadis ini menjadi dalil berlakunya aqad nikah, maka bukan menjadi kewajipan bagi mempelai untuk terus tinggal serumah terutama atas persetujuan kedua pihak untuk beberapa tempoh yang dipersetujui.
Apabila pasangan pengantin (nikah gantung) bersetuju untuk tinggal berasingan kerana beberapa perkara yang diambil kira seperti yang saya sebutkan di atas tadi, maka tidaklah berbangkit isu nafkah batin (jima'/bersetubuh). Apa yang timbul ialah perbahasan dari segi nafkah zahir (material) . Berkait perkara ini, kita mempunyai beberapa pandangan :
a] Mazhab Zahiri seperti yang dinyatakan oleh Ibn Hizam iaitu nafkah ini (nafkah zahir) wajib dengan berlakunya aqad, maka selepas sahaja aqad nikah, suami wajib memberi nafkah zahir kepada isterinya.
b] Pandangan jumhur ulama' iaitu nafkah zahir itu hanya wajib apabila isteri memenuhi syarat-syarat tertentu seperti isteri menyerahkan diri kepada suami (berpindah ke tempat suami), boleh melakukan istimta' (mengambil keseronokan) , jima'/bersetubuh , isteri tidak keluar rumah tanpa izin suami dan seumpamanya.
Nikah khitbah dapat disimpulkan bahawa ; bebanan nafkah itu tidak diwajibkan ke atas suami sekiranya kehidupan biasa suami isteri belum berlaku. Bagaimanapun sekiranya suami isteri tersebut keluar bersama, maka tiada halangan dari segi hukum syara' kerana mereka adalah suami isteri yang sah. Demikian juga andai berlaku kehamilan maka bayi itu sah dan mereka boleh menjalani kehidupan berkeluarga seperti biasa yang sah. Tidak perlulah mereka melarikan diri, buang bayi dan menggugurkan bayi atau membunuhnya .
Tegasnya saya sebutkan disini, terutama kepada pihak berkuasa agama, ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat termasuk anak-anak muda agar mereka kembali kepada cara hidup Islam. Walaupun nikah gantung ini kelihatan seperti baru dalam negara kita bagi sesetengah pihak, tetapi ia lebih baik dari kita membiarkan anak-anak gadis dan teruna kita berpeleseran, bergaul bebas lalu akhirnya mereka terjebak dalam kancah seks bebas dan penzinaan yang memalukan. Bukan sahaja maruah keluarga dan agama tercalar, murka Allah swt itulah yang paling ditakuti.

Tuesday, 20 December 2011

Ibu, Ampukan Aku


Ibu,
Saat kau tahu bahawa kau mengandungkan aku,
Kau amat gembira dan bahagia sekali,
Wajahmu sentiasa ceria,
Bagai hendak kau hebohkan pada dunia bahawa kau akan menjadi ibu kepada aku,
Syukur yang teramat pada Ilahi atas nikmat padamu itu.

Ibu,
Sepanjang mengandungkan aku,
Kau sabar menanggung sakit yang tidak tergambar pedihnya,
Kau tabah,
Kau tersenyum juga walau hakikatnya kau derita,
Kadang-kadang kau titiskan jua air mata kesakitan yang kau rasai,
Namun cepat-cepat kau kesat mutiara yang menitis itu,
Kerana kau tidak mahu aku rasa bersalah padamu.

Ibu,
Tiba saat yang amat kau tungu-tunggu,
Saat melahirkan insan teristimewa dalam hidupmu,
Aku lihat kau hampir meragut nyawamu sendiri,
Demi melahirkan seorang bayi yang kau kandungkan.

Namun,
Kau ukirkan senyuman penuh kesyukuran apabila aku lahir dengan selamat ke dunia ini,
Terus hilang sakitmu sebentar tadi,
Terus kau lupakan segala penderitaan yang kau rasai selama aku di dalam kandunganmu,
Lantas kau menciumku hingga menitis lagi air matamu,
Aku amat mengerti makna air mata itu,
Air mata kesyukuran,
Syukur tidak terhingga.

Ibu,
Saat aku masih kanak-kanak,
Kau amat gembira melihatku,
Semakin hari semakin membesar dengan sihat,
Kau tidak pernah mengasari aku,
Kau tidak pernah menunjukkan keletihan di wajahmu,
Walau setelah kau penat seharian bekerja,
Kau lakukannya demi untuk menyaraku,
Malah, kau sempat lagi bermain bersamaku,
Kau hiburkan aku,
Aku tahu saat itu kau benar-benar keletihan.

Ibu,
Bila aku mula meningkat remaja,
Kau mula bimbang akan aku,
Kerana aku semakin mengasarimu,
Aku selalu memperlekehkan setiap apa yang kau cadangkan,
Terutama dalam memilih sesuatu pilihan,
Aku katakan padamu bahawa aku sudah matang,
Aku cukup matang untuk memilih jalan hidupku,
Aku juga tidak mahu dikongkong oleh dirimu lagi,
Biarlah hidup ini aku jalani sendiri,
Usahlah ibu fikirkan apa yang terbaik untuk anakmu ini,
Aku sudah dewasa untuk menentukan hala tuju hidupku sendiri,
Tanpa perlu bantuan kau di sisiku lagi.

Ibu,
Saat itu aku kerap melihat kau menangis,
Namun,
Aku hanya mampu melihatnya,
Aku tidak kuat untuk memujukmu,
Aku biarkan saja kau dengan tangismu,
Walauku tahu tangismu itu kerana sikapku,
Sikapku yang lupa diri serta egois.

Ibu,
Kini aku sedar akan segalanya,
Aku insaf atas segala dosa yang aku lakukan padamu,
Berapa kali hatimu aku calari dengan kata-kata kesatku?
Berapa kali air matamu mengalir kerana berkecil hati dengan kekasaranku padamu?

Namun,
Tidak pernah sekalipun aku meminta ampun padamu ibu,
Mengapa aku begitu ego padamu?
Sedangkan kaulah insan yang amat bermakna dalam hidupku.

Ibu,
Maafkan anakmu yang derhaka ini,
Maafkan seiklas hatimu ibu,
Agar aku dapat hidup dalam redha Ilahi,
Agar aku juga mendapat keampunan-Nya.

Ibu,
Halalkanlah makan minumku,
Walau setitis air susu pun moga kau halalkan,
Dan walau setitis keringat yang mengalir deras sepanjang mendidikku,
Kerana aku tidak mampu membayarnya walau dengan selautan kekayaan.

Ibu,
Ampunkan aku,
Moga kau mendapat keredaan-Nya di sana nanti,
Ku doakan moga kau mendapat nikmat syurga-Nya,
Bersama orang-orang yang beriman.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Panorama SMA Yayasan Khairiah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More