BALING: Sekolah Menengah Agama (Arab) Yayasan Khairiah (SMAYK), Kampung Pisang, Kupang terus melangkah ke hadapan dengan menawarkan bidang baru untuk masyarakat umum melalui pengajian Tahfiz Al-Quran dan Sains.
Pengetuanya, Ustaz Abdul Rahman Yahya berkata, Pusat Tahfiz Al-Quran dan Sains itu adalah sebuah institusi ilmu berdimensi baru di bawah pengurusan dan pentadbiran SMAYK sepenuhnya.
Menurut beliau, kelas pengajian mula beroperasi pada Januari 2010 dengan pengambilan seramai 35 pelajar dan hanya melibatkan pelajar lelaki. Untuk tahun 2012 bermakna mereka bakal menerima kemasukan generasi ketiga.
Melalui pengajian tersebut, dua dimensi ilmu yang berbeza digabungkan dalam usaha melahirkan golongan huffaz al-Quran profesional serta saintis berjiwa al-Quran.
Dengan pembukaan pusat tahfiz tersebut juga bermakna bilangan pengajian tersebut semakin banyak ditawarkan di negeri ini tanpa perlu merantau jauh.
Untuk memasuki pusat tahfiz ini, setiap pelajar haruslah memenuhi kriteria ditetapkan iaitu lulus dengan keputusan 5A atau 4A, 1B dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) .
Menurut Ustaz Abdul Rahman, selain keputusan cemerlang UPSR, pelajar juga harus menduduki Ujian DhurAwwal dan lulus semua ujian Saringan Tahfiz Sains (USTS).
Pemilihan ketat ini adalah syarat yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah bagi menghasilkan pelajar berkualiti dan dapat mengikuti pengajian sehingga ke peringkat terakhir.
Sekolah Agama Rakyat sepenuhnya di bawah pentadbiran Lembaga Tadbir Yayasan Khairiah namun masih di bawah kawalan dan pemantauan Jabatan Agama Negeri Kedah.
Mempunyai hampir 1800 pelajar, ia kini sedang pesat membangun dan berkembang sebagai sebuah institusi pengajian agama yang meniti nama di seluruh Malaysia.
Sebarang pertanyaan berhubung sekolah sila hubungi talian :
04 – 476 6934 (Pejabat)
013 – 412 6638 (Ustaz Khairul Ashraf bin Abd Rahman)
0 comments:
Post a Comment