Get your own Digital Clock

Friday 9 September 2011

Cabaran Mahasiswa Kini

Menerima surat tawaran untuk melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi adalah impian kebanyakan remaja yang bercita-cita tinggi.

Apatah lagi surat tawaran datang dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam yang tersohor dan ternama.

Gaya hidup sebagai mahasiswa penuh prestij dan bergaya terbayang di mata. Namun, di sebalik itu semua, pernahkah terlintas di fikiran tentang kesukaran dan cabarannya?

RM... Ringgit Malaysia & Rungsingnya Mahasiswa

Secara zahirnya, bagi mahasiswa yang datang dari keluarga yang kurang mampu, isu kewangan adalah masalah yang paling utama. Bagi yang datang dari keluarga yang berkemampuan, wang kiriman FAMA (Father & Mother) dijadikan sumber kewangan tambahan di samping wang pinjaman PTPTN atau penaja lain.

Jika lebih bernasib baik, abang dan kakak yang telah bekerja boleh dicuit untuk membantu. Masalah kewangan adalah masalah umum mahasiswa.

Kos sara hidup yang meningkat seperti sewa rumah atau bilik, kos makanan dan minuman, pengangkutan dan kos membeli peralatan pengajian adalah congakan yang diambil kira dalam merancang perbelanjaan. Jika ada wang, nasi lengkap dengan lauk pauk menjadi pilihan. Kurang wang bererti roti dan mee segera menjadi makanan ruji.

Berat untuk diakui, tetapi itu realiti. Masalah kewangan menjadi salah satu tekanan yang berat dan memberi kesan kepada prestasi akademik mahasiswa.

Kitaran Hidup Mahasiswa

Lazimnya pengajian di universiti meliputi aktiviti-aktiviti yang rutin dan formal. Kuliah demi kuliah diikuti dengan senarai tugasan yang menyesakkan dada. Kuiz, ujian dan peperiksaan akhir adalah medan menguji sejauh mana kemampuan mahasiswa menghadam pengajian.

Bagi yang aktif sedikit akan terlibat dengan persatuan, sukan dan badan beruniform. Setidak-tidaknya untuk memenuhi keperluan markah bagi kokurikulum.

Dari sudut akademik, timbul persoalan, adakah pengajian formal yang diikuti mengikut bidang masing-masing mampu mematangkan minda dan personaliti mahasiswa?

Mampukah ilmu yang dipelajari dapat dijadikan sandaran untuk mahasiswa menempatkan diri dalam alam pekerjaan. Mengapa terdapat mahasiswa yang gagal dalam usaha mencari pekerjaan yang sesuai dan terpaksa mengambil keputusan menganggur?

Pasaran Pekerjaan : Merebut Atau Direbut

Cabaran dalam dunia global menuntut agar majikan merekrut pekerja yang benar-benar berkualiti jika ingin syarikatnya kekal dan bertahan. Kualiti mahasiswa yang diinginkan oleh majikan hari ini bukan setakat pencapaian 4.00 CGPA dan deretan keputusan 'A' bagi setiap subjek dalam transkrip akademik.

Sebaliknya kebanyakan majikan mahukan graduan yang berketrampilan, mudah menyesuaikan diri, kreatif dan kritis serta mampu berdikari. Majikan kini bukan mahukan pekerja yang taat membuta tuli dan bersikap 'yes-man'. Mereka mahu pekerja yang bukan setakat mampu bekerja tanpa pengawasan yang terlalu kerap tetapi juga mampu menyelesaikan masalah dan membuat keputusan yang bijak dan wajar.

Bagaimana mahasiswa dapat memenuhi kriteria-kriteria extra-ordinary seperti ini? Pengajian formal di bilik kuliah tidak menyajikan pengetahuan seperti ini. Sekadar bergantung kepada modul-modul dan satu-dua buku rujukan tidak mencukupi untuk membentuk bakal pekerja yang berkualiti.

Belajar bersendirian dalam karel-karel perpustakaan dan tidak bercampur dengan mahasiswa lain dalam perbincangan ilmiah harus dielakkan. Menjadi 'passanger' dalam pelaksanaan tugasan berkumpulan tidak harus diamalkan.

Konsep dan teori yang membicarakan tentang ciri-ciri dan personaliti pekerja yang ideal dicatat dalam pelbagai jenis buku pengurusan. Pelbagai jenis buku motivasi membanjiri pasaran buku yang boleh dijadikan rujukan.

Namun semua itu sekadar konsep dan teori. Mahasiswa sendiri harus berusaha mengubah 'mind-setting' dengan mengubah sikap dan cara hidup. Mahasiswa harus mengubah diri dengan rajin mengetengahkan diri dalam kerja berpasukan.

Dengan bimbingan para pensyarah melalui diskusi ilmu dan makluman am secara tidak formal, mahasiswa mampu memahami bagaimana pendekatan yang sesuai untuk dirinya dalam menganalisis dan merungkai permasalahan.

Mahasiswa boleh belajar dengan para pensyarah secara tidak formal untuk berfikiran kritis dan berfikir tahap tinggi. Dengan mengambil pandangan dari rakan-rakan sekuliah, mahasiswa sudah boleh membentuk personaliti dan pendekatan komunikasi yang sesuai untuk dilihat lebih berketrampilan.

Dengan bantuan rakan-rakan sekuliah, mahasiswa boleh mengambil kesempatan belajar bahasa asing terutama bahasa Inggeris dan cuba menguasainya.

Mulakan langkah pertama untuk melaksanakannya dan menguasainya. Semua itu akan menjadi sesuatu yang 'extra-ordinary' jika anda berada dalam kedudukan calon temuduga pekerjaan bukan?

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ShareThis

Panorama SMA Yayasan Khairiah

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More