"Abang nak dengar cerita tak?" Soal Zahra, isteriku yang baru beberapa hari kunikahi. Lembut dan lunak sekali suaranya.
Ketika itu aku sedang menghadam kitab Usul Fiqh tulisan Syekh Prof.
Dr. Abd Karim Zaidan. Ulama kelahiran Iraq yang tekun mendidik dan
berdakwah di Yaman. Beliau terkenal dengan kealimannya dalam bidang Fiqh
dan Usul serta Dakwah.
Sengaja aku meneruskan bacaan. Aku berpura-pura seperti tidak mendengar apa-apa.
"Abang, nak dengar tak cerita saya. Emm...tak pelah." Dia mencebik muka.
Itulah yang aku tunggu. Lantasku tutup kitab fiqh dan aku letakkan di
atas meja kecil disisi sofa. Aku bangun melangkah dan mendekati
isteriku yang sedang duduk bersimpuh di atas lantai beralaskan
permaidani berona coklat. Aku memilih kedudukan betul-betul
dihadapannya. Mata kami bercantum empat. Pandangan kami menyatu.
Perlahan-lahan ku hulurkan kedua tangan, dan ku pegang pipinya. Lalu
ku dekatkan bibir ke wajahnya. Dia menutup mata. Kemudian... tangan
nakal ku mencubit lembut hidungnya.
"Haa! haa..!" Aku pantas bangkit dan melarikan diri.
"Abang!" Zahra cukup geram dengan perbuatanku tadi. Dia terus bingkas dan mengejar-ngejar aku dibelakang.
Suasana menjadi riuh dengan suara gelak dan tawa kami. Gelagat kami
seakan-anak anak kecil yang sedang bermain kejar-kejaran. Mujurlah kami
belum punya cahaya mata. Kalau tidak pasti mereka merasa pelik melihat
gelagat kami yang seperti mengalahkan mereka ini. Melihat keadaan isteri
yang semakin letih, aku tidak betah untuk terus berlari. Sengaja ku
beralah. Pantas sahaja dia menangkap tubuhku, lalu melancarkan serangan.
Berkali-kali.
"Sayang! Abang cubit sekali je tadi," ujarku cuba membela diri sambil ketawa.
"Ah. Tak kiralah abang yang mula dulu. Sekarang terimalah
balasannya." Zahra sehabis mungkin mengenakanku kembali. Habis tubuhku
dicubitnya manja. Dia mengilai riang, kemenangan. Aku tidak bisa berbuat
apa-apa lagi, hanya mampu redha dengan kemenangan Zahra. Seraya itu, ku
perhatikan tingkahnya. Suaranya. Gelak tawanya. Manja dan menawan hati.
Dia benar-benar mampu mengubat hatiku, aku benar-benar gembira dan
bersyukur pada Allah kerana dijodohkan dengan wanita semulia dan
secantik Zahra. Terima kasih Allah!
Dalam kegembiraan dia mencubitku, dengan pantasku tangkap serangan
terakhirnya. Aku pegang kedua tangannya. Zahra terdiam kaku. Aku pandang
tepat ke wajahnya. Sedikit titik air terlihat dikelopak matanya. Aku
sekat air mata bahagia itu dengan jari jemariku. Perlahan-lahanku kucup
ubun-ubunnya, lembut dan kurangkul tubuhnya erat dengan penuh kasih
sayang. Kasih sayang yang dibina kerana Allah. Aku bahagia, dan ku pasti
dia juga turut merasai kebahagiaan ini.
"Abang ni, sampai hati kenakan Zahra tau!" Dia pura-pura merajuk dan
membulatkan matanya, walaupun begitu tetap terpancar rona-rona keceriaan
disebalik rajukan yang dibuat-buat itu.
"Sekali-sekala abang nak bergurau dengan Zahra, seronok juga kan." Selorohku sambil ketawa kecil.
Aku memimpin Zahra dan membawanya ke arah kerusi yang terletak di
balkoni. Daripada balkoni itu, kami dapat menikmati angin bayu yang
begitu mendamaikan kerana balkoni tersebut benar-benar menghadap pantai.
Aku selesa disini bersama isteriku yang tercinta. Kami masing-masing
mendiamkan diri, menikmati kedinginan malam dan keindahan bulan di
langit. Butir-butir bintang berkelip indah, bukti kekuasaan Yang
Maha
Esa. Beberapa ketika selepas itu, aku memperbetulkan kedudukan ku diatas
kerusi dan merebahkan tubuh ke sandaran kerusi berlapikkan span. Zahra
tanpa disuruh, menyandarkan kepalanya ke dadaku. Hati ini terasa sejuk
dan tenang sekali. Alangkah indahnya nikmat Tuhan, aku dapat bermesraan
dengan wanita yang halal bagiku, sudah tentu ia akan dikira sebagai
ibadah. Dalam sepi aku terfikir, inilah hikmah perkahwinan yang seringku
baca dalam kitab-kitab dan hadith-hadith Nabi, sesungguhnya Allah
telah membuka pintu-pintu kenikmatan yang membuahkan pahala.
Lama membisu dan melayan perasaan, tiba-tiba Zahra mengungkapkan
tutur yang membelah kesunyian."Pernah suatu ketika dulu, sebelum Allah
menyatukan kita. Waktu itu kita sama-sama menuntut di universiti. Zahra
begitu kagum dengan seorang pemuda. Zahra rasa dia adalah lelaki paling
mulia di dunia.
Dialah pemuda sejati yang menempatkan ibadah dan dakwah
di atas segalanya. Sungguh Zahra kagum dengan keperibadiannya.
Kebijaksanaannya menyantuni orang-orang sekeliling membuatkan hati-hati
yang menjadi dekat dengannya. Bicaranya ibarat zikir-zikir yang sering
mengingatkan orang-orang sekeliling akan Allah. Tingkahnya membuatkan
orang-orang merasa senang bahkan bisa tersentuh."
Aku cuma mendengar. Membiarkan Zahra meneruskan kalimah-kalimahnya.
"Zahra tidak pernah menyangka Zahra sudah jatuh hati pada pemuda itu.
Sungguh Zahra tidak pernah menyangka perasaan itu dan Zahra
pernah berkali-kali menafikannya. Namun Zahra tidak kuat menolak cinta
yang hadir dalam diri. Zahra tewas dengan perasaan sendiri."
Kemudian Zahra terdiam. Dia memandangku dengan pandangan sayu.
Wajahku seakan berubah. Demi Allah, aku benar-benar cemburu kepada
pemuda itu. Masakan dia bisa mencuri hati seorang wanita mulia. Seorang
muslimah yang sangat aku sanjungi dan kagumi
keperibadiannya. Malah, wanita ini sekarang telah menjadi permaisuri
hidupku. Aku ingin sekali bertanya. Pelbagai persoalan muncul di
fikiranku namun ku biarkan Zahra dengan bicaranya dan aku akan
cuba dengar dengan saksama.
"Namun abang, Zahra masih kuat untuk mendidik nafsu sendiri. Zahra
tidak tertewas dengan pujukan syaitan yang berkali-kali mengajak Zahra
menerobos ke ruang maksiat. Zahra masih punya sifat malu yang menebal.
Mustahil untuk Zahra menanggalkan pakaian mulia itu. Pakaian yang
dinamakan malu. Maka dengan perasaan malu yang mendalam itulah Zahra
bertahan membuang segala rasa yang mungkin mengganggu hari-hari Zahra.
Zahra tidak mahu terjebak ke jurang cinta seusia itu kerana Zahra telah
tekadkan dalam diri bahawa hidup saya semata-mata untuk menelaah ilmu
dan menjunjung perintah Allah didalam al-Quran. Cinta sebelum bernikah
adalah cinta semu yang tidak harus diagung-agungkan. Lalu Zahra
pendamkan rasa cinta Zahra pada pemuda itu, kerana Zahra berkeyakinan
bahawa jodoh adalah rahsia Allah yang tidak bisa disingkap oleh insan
melainkan dengan kudrat-Nya."
Zahra berhenti berbicara seketika. Dia menarik nafas dalam-dalam.
Perkara ini seperti terlalu serius dan penting baginya. Aku menjadi
risau dan soalan demi soalan kian menjengah ke dalam fikiranku.
"Zahra berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Bulat-bulat Zahra
berserah kepada Allah perihal jodoh.
Kerana Zahra yakin akan bicara
Allah dalam kalam-Nya:"(lazimnya) perempuan-perempuan Yang jahat adalah
untuk lelaki-lelaki Yang jahat, dan lelaki-lelaki Yang jahat untuk
perempuan-perempuan Yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan
Yang baik untuk lelaki-lelaki Yang baik, dan lelaki-lelaki Yang baik
untuk perempuan-perempuan Yang baik. mereka (yang baik) itu adalah
bersih dari (tuduhan buruk) Yang dikatakan oleh orang-orang (yang
jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan
pengurniaan Yang mulia."
(Surah An-Nuur:26)"
(Surah An-Nuur:26)"
Zahra memandangku lembut. Dia pasti dapat meneka riak air mukaku. Aku
cemburu Ya Allah. Mengapa perlu isteriku ini bercerita perihal pemuda
lain dihadapanku. Walaupun aku kini pemiliknya yang sah namun aku tidak
dapat menghalang jiwaku daripada perasaan cemburu ini. Namun Zahra masih
mahu menyambung kisah nya.
"Pemuda yang mulia untuk wanita yang mulia. Jadi, Zahra berdoa tidak
henti-henti moga Zahra dipertemukan dengan pemuda itu jika Allah
mengkehendaki."
Tanpaku sedari Zahra mencuri pandang kearahku. Dia kini seperti
menangkap perasaan di hatiku yang sedari tadi membuak-buak rasa cemburu.
"Abang cemburu?" Soalnya lembut dan manja.
"Love is never without jealousy," jawabku perlahan. Zahra
berterusan membisu dan memandangku seakan mengerti masih ada bait-bait
kata yang ingin aku ucapkan kepadanya.
"Bertuahnya lelaki tu. Mesti dia seorang yang hebat kan? Yelah,
seorang wanita secantik dan semulia Zahra pun memuji dan mencintainya.
Siapa lelaki tu sayang? Abang kenal dia?" Aku menyoal Zahra bertubi-tubi
namun nadaku masih lembut walaupun hatiku bergetar ingin tahu siapa
lelaki yang isteriku cintai ini.
"Abang nak tahu siapa dia?" soalnya semula kepadaku. Eh, bukankah aku
yang banyak bertanya soalan kepada dia tapi dia pula yang menyoalku
kembali. Aku berasa sedikit geram dalam penantian.
Dia kemudian memegang tanganku dan diciumnya dengan penuh takzim. Lalu dengan sungguh-sungguh dia berkata.
"Abang, you are the man that i loved since the first time i met
you in University. Zaid! Masya-Allah, now you've already be my husband,
and i will give all my life to you, in the name of Allah."
Hatiku gerimis. Basah dengan bicaranya yang penuh makna. Aku pandang
wajahnya dalam-dalam sembari menikmati keindahan dan kecantikan
wajahnya. Hatiku kini tenang. Sungguh benar sabda Nabi Muhammad SAW:
"Sebaik-baik isteri adalah
yang jika kamu memandangnya membuatkan hatimu senang, jika kamu
perintahkannya dia mentaatiku, dan jika kamu tinggalkannya maka dia akan
menjaga untukmu harta dan dirinya."
(Hadis riwayat Ibn Jabir)
(Hadis riwayat Ibn Jabir)
"Sayang, wajahmu seindah bidadari di syurga. Abang sangat beruntung dan bangga kerana menikahi seorang isteri solehah seperti sayang" Lirihku lembut.
"Dan abang adalah lelaki terbaik yang pernah Zahra temui. Abang cinta pertama dan terakhir Zahra." Lirihnya kembali.
Perasaan kami, jiwa kami, hati kami, segalanya kini bersatu.
Aku mencintai isteriku dan berjanji akan selamanya menjaga amanah Allah
ini hingga ke syurga. Akan kami teruskan ibadah yang suci ini dan kami
mengharapkan akan dikurniakan anak-anak yang soleh yang akan memakmurkan
bumi Allah dengan kebenaran dan rahmat Islam kelak.
"Dan di antara tanda-tanda
Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan
untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri,
supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya
di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.
Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang
menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir."
(Surah Ar-Ruum: 21)
(Surah Ar-Ruum: 21)
0 comments:
Post a Comment