Setiap
hari ada sahaja kisah menyayat hati para isteri yang didera si suami didengari
dan tertulis di akhbar. Ada antara mereka yang dilanda trauma yang teruk,
didera, dipukul, disepak terajang dan banyak lagi. Sesetengah para suami yang
menjadi kaki dera ini beranggapan si isteri layak 'diajar' sedemikian rupa agar
tidak mengulangi kesalahan yang sama. Ada juga antara para suami yang menjadi
kaki dera kerana telah berasa bosan dengan isterinya yang dianggap tidak
menarik lagi dan sebagainya. Malah ada juga yang cuba mencari 'syurga' diluar
dengan berlaku curang terhadap isterinya.
Apabila
banyak kisah sebegini dipaparkan di dada akhbar dan majalah, semakin
ramailah wanita takut untuk mendirikan rumah tangga dan berkahwin
kerana mereka khuatir sekiranya hubungan mereka itu juga akan berakhir
dengan kisah tragis didera suami atau dicurangi suami .
Persoalannya,
adakah ini salah lelaki yang bergelar suami yang tidak tahu menghargai para
isteri ataupun salah para isteri yang tidak pandai melayan hati suami?
Lebih
baik kita usah menunding jari antara satu sama lain. Baik para suami
mahupun para isteri masing- masing tidak patut dipersalahkan . Sekiranya para
suami dan isteri sama-sama menjalankan tanggungjawab sebagai suami-isteri
seperti yang telah digariskan didalam Al-Qur'an dan As-sunnah sudah tentu tidak
akan timbul kes-kes penderaan isteri dan kes-kes curang terhadap pasangan
masing-masing.
Banyak
kisah-kisah Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang dapat para suami jadikan
contoh dalam melayari kehidupan berumah tangga agar rumahtangga sentiasa
harmoni dan diredhai Allah s.w.t
Kerana
Sifat Al-Amin, Siti Khadijah terpikat
Rasulullah
s.a.w telah digelar dengan gelaran Al-Amin oleh para penduduk Kota Mekah kerana
beliau telah diberi amanah oleh para pemuda Quraisy ketika isu untuk
meletakkan Hajar Al-Aswad timbul. Baginda telah diberikan amanah tersebut
kerana seluruh Kota Mekah mengenali baginda dengan sikap baginda yang amanah
dan boleh dipercayai.
Abu Lahab
pernah cuba meminang Siti Khadijah melalui Abu Thalib. Namun, Abu Thalib telah
menolaknya dan Abu Thalib berkata :
"Dalam
pertemuanku itu, Khadijah mengatakan dia memerlukan seorang lelaki yang dapat
dipercayai bagi menjalankan perniagaannya. Dia berpesan supaya mencarikannya
seorang lelaki yang jujur dan dapat dipercayai. Ayah tidak nampak orang lain
selain kamu, wahai Muhammad."
Agak-agaknya
apakah ciri-ciri orang yang boleh dipercayai yang dimaksudkan Siti Khadijah
r.a? Antaranya adalah mempunyai tutur kata yang baik, amanah, jujur
serta tidak berbohong.
Wahai
para suami dan lelaki diluar sana adakah sukar bagi anda semua untuk
mempunyai ciri-ciri murni seperti yang diatas? Sekiranya sukar,
muhasabahlah kembali diri anda mengapa ianya menjadi sukar sedangkan ia tidak
mustahil untuk dipraktikkan.
Keberanian
dan ketulusan Saidina Ali r.a
Dua
sahabat terkemuka iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar telah cuba
meminang Fatimah, namun pinangan mereka ditolak dengan baik oleh Rasulullah.
Namun
yang akhirnya bernikah dengan Saidatina Fatimah adalah Saidina Ali r.a.
Apakah
yang menyebabkan Saidina Ali r.a dipilih oleh Rasulullah s.a.w sebagai menantu
baginda? Jelas Rasulullah s.a.w memilih Saidina Ali r.a sebagai menantu baginda
kerana sifat keberanian yang terselah dalam diri Saidina Ali r.a. Sejauh
manakah keberanian Saidina Ali r.a yang telah menyebabkan beliau dipilih
oleh baginda Nabi menjadi menantu baginda? Antara keberanian Saidina
Ali r.a sebelum perkahwinan beliau dengan Siti Fatimah
r.a lagi, Saidina Ali memang sentiasa berdamping dengan Rasulullah
s.a.w. Akhirnya, beliau sendiri berjumpa dengan Nabi Muhammad s.a.w dan
menyatakan hasrat beliau untuk mengahwini Saidatina Fatimah r.a.
Berlainan
dengan para lelaki zaman sekarang yang hanya berani dan rapat dengan keluarga
bakal mertua ketika sebelum berkahwin dengan bakal isteri sahaja. Apabila sudah
berkahwin, keluarga mertua sering dilupakan dan tidak diziarahi seperti
sebelumnya. Malah ada para isteri yang tidak dibenarkan melawat keluarganya
apabila sudah berkahwin.
Keikhlasan
cinta Abu Salamah
Abu
Salamah merupakan saudara susuan kepada baginda Nabi Muhammad s.a.w.
Beliau telah ditakdirkan bertemu jodoh dengan sepupu Khalid al-Walid,
yakni Hindun binti Abu Umayyah atau lebih dikenali sebagai Ummu Salamah.
Ummu
Salamah merupakan seorang wanita yang sangat cantik, mulia, terhormat dan
bijaksana. Cintanya kepada Abu Salamah terlalu besar. Abu Salamah merupakan
seorang pahlawan Islam yang berani dan terbilang, beliau sering tercedera
ketika berjuang di medan peperangan. Setiap kali Abu Salamah
tercedera, Ummu Salamah akan menumpukan sepenuh perhatiannya untuk merawat
suaminya yang tercinta.
Namun,
telah ditakdirkan jodoh mereka tidak berpanjangan. Abu Salamah pergi
meninggalkan Ummu Salamah ketika luka lamanya semasa perperangan berdarah
kembali. Saat-saat sebelum pemergian Abu Salamah, Ummu Salamah berkata :
"Kandaku
sayang! Dinda mendengar bahawa jika seorang isteri ditinggal mati oleh
suaminya, sementara suaminya itu menjadi penghuni syurga dan isterinya tidak
menikah lagi, maka Allah mengumpul mereka kembali ke alam syurga. Maka
berjanjilah wahai kekasihku, kanda tidak akan menikah lagi, seandainya dinda
pergi dulu. Dinda juga akan berjanji akan tidak menikah lagi andai kanda pergi
dulu.
Abu
Salamah memang mencintai isterinya, dan mengharapkan wanita solehah,
secantik dan sebijak isterinya dimiliki oleh seorang yang lebih baik darinya.
Dalam tenat berbicara, Abu Salamah membuat keputusan yang terbaik buat
isterinya.
"Mahukah
dinda taat kepada kanda?' kata Abu Salamah.
"Sudah
tentu wahai kekasihku," jawab Ummu Salamah.
"Berjanjilah,
jika kanda pergi terlebih dahulu, maka menikahlah lagi," pinta Abu
Salamah. Ummu Salamah terkedu, air matanya bercucuran hiba.
"Ya
Allah, jika aku mati terlebih dahulu, maka berikanlah Ummu Salamah seorang
suami yang lebih baik daripadaku yang tidak akan membuatnya sedih dan
menyakitinya," doa Abu Salamah dalam kepayahan.
Abu
Salamah berdoa untuk isterinya sebelum dia meninggal dunia, agar isterinya
memperoleh kebaikan yang tak terhingga tatkala dia menutup mata.
Demikianlah
keikhlasan cinta seorang suami kepada isterinya, memikirkan yang terbaik untuk
isterinya, dan akhirnya, Ummu Salamah bernikah dengan Rasulullah s.a.w
Romantis
ala Rasulullah
Sebut
perkataan romantis pasti ada antara kalian yang membayangkan romantis jiwang
seperti yang selalu dipaparkan didalam drama atau filem-filem cinta. Namun
romantik ala Rasulullah berbeza dengan gambaran romantis yang digambar kan
didalam drama mahupun filem-filem cinta. Romantik adalah penghubung
kemesraan dalam berumahtangga. Pernah suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w keluar
menyambut salam dari sahabatnya, dan sahabatnya melihat tangan baginda
terdapat tepung. Rupa-rupanya ketika itu baginda sedang membantu isterinya
menguli tepung didapur.
Rasulullah
s.a.w juga cukup romantik ketika menegur isteri-isteri baginda. Pernah suatu
ketika Saidatina Aisyah memasak sesuatu, dan menjemput baginda nabi
merasainya. Saidatina Aisyah bertanya tentang masakannya. Lantas,
Nabi Muhammad s.a.w sendiri menyuapkan makanan itu ke dalam mulut
Aisyah. Tahulah Aisyah mengenai masakannya itu.
Daripada
Aisyah r.a, beliau berkata : "Saya biasa minum daripada cawan yang sama
ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan itu dan meletakkan mulutnya di tempat
saya meletakkan mulut saya".
"Lalu
baginda minum, kemudian saya mengambil cawan, lalu saya menghirup isinya.
Kemudian baginda mengambilnya daripada saya, lalu beliau meletakkan mulutnya
pada tempat saya meletakkan mulut saya, lalu beliau pun menghirupnya."
(Hadis riwayat Abdurrazaq dan Sa'id bin Manshur).
******************************
Sebenarnya
banyak lagi kisah-kisah hidup bersuami isteri yang ditunjukkan oleh Rasulullah
s.a.w dan para sahabat baginda untuk dijadikan contoh dan teladan buat para
suami masa kini agar sentiasa berhemah dan berhikmah dalam menguruskan keluarga
dan rumah tangga.
Kepada
para suami dan para lelaki yang bakal menjadi suami, bangkitlah menjadi
lelaki yang berkualiti bukan lelaki yang dibenci oleh wanita dan Allah s.w.t.
0 comments:
Post a Comment