AGAMA Islam Pas menjadi semakin
popular dalam masyarakat Melayu. Hukum Hududnya diyakini sebagai hukum agama
yang suci. Ulamanya pula ditaati seperti Allah dan rasul-Nya.
Kekalutan ini lahir daripada
input yang mengelirukan mengenai tugas rasul Allah yang sebenar. Para ulama
tidak menjelaskan seperti yang dijelaskan Allah iaitu tugas rasul hanyalah untuk
menyampaikan al-Quran kepada umat. Firman Allah 5:92 yang berbunyi “Ketahuilah
bahawa atas rasul Kami hanyalah untuk menyampaikan yang jelas (al-Quran)" tidak
disampaikan kepada orang Melayu.
Mereka terus membisu dengannya
walaupun Allah menyebut mesej itu sekali lagi dalam ayat al-Quran 24:54. Lantas,
Islam ajaran ulama bukanlah Islam yang disampaikan oleh rasul.
Rasul mengikuti satu syariat
yang termaktub dalam Perintah daripada Allah - “Kemudian Kami membuat kamu di
atas satu syariat daripada Perintah; maka ikutlah ia” (45:18) - dan dalam
Perintah itu juga dinyatakan bahawa hanya Allah sahaja yang berhak mensyariatkan
atau menetapkan hukum untuk agama-Nya. Tiada yang lain, selain daripada Dia,
diizinkan berbuat demikian. Mereka yang ingkar dan yang memandai-mandai
menggubal sendiri hukum agama dikategorikan-Nya pula sebagai sekutu Allah
(42:21), dan dosa ini tidak diampun.
Namun manusia, kerana kefasiqan
mereka, terus menggubal peraturan atau hukum agama. Lalu lahirlah pelbagai
peraturan dan hukum yang berlainan daripada apa yang diwahyukan.
Hukum Hudud
adalah satu daripadanya.
Perkataan hudud bermakna had
atau batas, dan juga ordinan. Ia sering disebut dengan kata
hudud Allah di dalam al-Quran dan kata
ini bersangkutan dengan peraturan atau hukum.
Maka hudud Allah boleh dimaksudkan
sebagai had bagi sesuatu hukuman, atau hukuman yang maksima, bagi sesuatu
kesalahan yang ditetapkan Allah.
Perkataan ini disebut sebanyak
14 kali di dalam 9 buah ayat al-Quran. Satu daripada ayatnya berbunyi,
“Itulah hudud (had-had) Allah;
janganlah mencabulinya. Sesiapa mencabuli had-had Allah, mereka itulah
orang-orang yang zalim” (2:229).
Oleh yang demikian hukuman
daripada Allah, atau hukuman dalam Islam yang sebenar, adalah bersifat tidak
zalim. Walaupun terdapat hukuman bunuh (qisas) dalam agama Allah, namun Dia
memperingatkan agar dipertimbangkan nyawa pesalah supaya dapat diselamatkan.
Firman-Nya,
“Dalam qisas ada kehidupan
untuk kamu, wahai orang-orang yang mempunyai minda, supaya kamu bertakwa”
(2:179).
Tidak pula dengan Hukum Hudud
Pas. Padanya bau zalim begitu ketara. Beberapa contoh akan dikemukakan di sini,
dipetik daripada “Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 – Kerajaan
Negeri Kelantan”, hasil karya ulama Pas yang disucikan oleh ramai orang
Melayu.
Contoh pertama ialah hukuman
untuk mencuri:
“Sesiapa yang melakukan sariqah (mencuri),
melainkan dalam keadaan yang dinyatakan dalam seksyen 7, hendaklah dihukum
dengan hukuman hudud seperti berikut:
(a) bagi kesalahan pertama dengan
dipotongkan tangan kanannya;
(b) bagi kesalahan yang kedua dengan
dipotongkan kaki kirinya; dan
(c) bagi kesalahan-kesalahan yang ketiga
dan berikutnya dengan dipenjarakan selama tempoh yang difikirkan patut oleh
Mahkamah untuk menjadikan pesalah itu sedar dan sesal.” (Bahagian I,
perenggan 6)
Hukuman ini mengatasi hudud
Allah yang hanya menyuruh potong tangan. Itulah had hukuman yang ditetapkan
Allah bagi pencuri. Firman-Nya,
“Dan pencuri lelaki dan
pencuri perempuan, potonglah tangan keduanya sebagai satu balasan ke atas apa
yang mereka mengusahakan, dan hukuman contoh daripada Allah; Allah Perkasa,
Bijaksana” (5:38).
Itulah juga hukuman maksima yang
dijatuhkan oleh rasul ke atas pencuri kerana dia menuruti perintah Tuhan
berbunyi,
“Dan Kami menurunkan kepada
kamu Kitab dengan yang benar, yang mengesahkan Kitab sebelumnya, dan
mengawalnya. Maka hakimkanlah antara mereka menurut apa yang Allah menurunkan,
dan janganlah mengikuti keinginan mereka untuk mengabaikan yang benar yang
datang kepada kamu” (5:48).
Contoh kedua ialah hukuman bagi
kesalahan merompak:
“Sesiapa melakukan hirabah (merompak)
hendaklah dihukum dengan hukuman hudud seperti berikut:
(a) dihukum bunuh dan selepas itu
disalibkan, jika mangsa kesalahan itu dibunuh dan hartanya atau harta orang
lain diambil;
(b) dihukum bunuh sahaja, jika mangsa
kesalahan itu dibunuh dengan tidak ada apa-apa harta yang telah diambil;
(c) dihukum potong tangan kanan dan kaki
kirinya, jika harta sahaja yang diambil dengan tidak menyebabkan kematian
mangsa atau mencederakannya; tetapi sekiranya harta-harta diambil dan
kecederaan dilakukan ke atas mangsanya, maka diyat atau irsy hendaklah dibayar
sebagai tambahan kepada hukuman potong tangan dan kaki .....” (Bahagian I, perenggan 9).
Yang paling sumbang dalam hukum
hudud Pas ini ialah perbuatan menyalib dan memotong tangan dan kaki pesalah.
Dalam al-Quran tindakan menyalib dan memotong tangan dan kaki hanya diharuskan
semasa dalam peperangan, iaitu ke atas musuh Islam yang memerangi.
Firman-Nya,
“Sesungguhnya balasan ke atas
orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya, dan yang berusaha di bumi
untuk membuat kerosakan - mereka dibunuh, atau disalib, atau tangan-tangan
mereka dan kaki-kaki mereka dipotong berselang-seli, atau mereka dibuang
daripada bumi. Itulah suatu kerendahan bagi mereka di dunia; dan di akhirat,
bagi mereka azab yang besar” (5:33).
Al-Quran ada juga menyebut
mengenai hukuman memotong tangan serta kaki dan kemudian disalib di pohon palma
yang dilakukan bukan dalam peperangan. Akan tetapi, hukuman ini adalah amalan
Firaun, seorang musuh Islam yang zalim pada zaman Nabi Musa (7:124, 20:71 dan
26:49).
Sementara hukuman salib tanpa
memotong mana-mana bahagian anggota disebut sebagai hukuman orang kafir zaman
Nabi Isa (4:157) dan raja semasa zaman Nabi Yusuf (12:41).
Mengenai hukuman bunuh pula,
yang diharuskan Allah, ia tidak sahaja terhad ketika dalam peperangan (2:191)
tetapi juga dalam kes pembunuhan biasa. Namun kuasa diberi kepada saudara si
mati untuk melaksanakan hukuman tersebut. Firman-Nya,
“Wahai orang-orang yang
percaya, ditetapkan bagi kamu ialah pembalasan (qisas), mengenai orang yang
dibunuh ….. tetapi, jika sesuatu dimaafkan kepadanya oleh saudaranya, maka
hendaklah mengikutinya dengan baik, dan hendaklah bayarannya dibuat dengan
baik. Itu adalah satu keringanan bagi kamu daripada Tuhan kamu, dan satu
pengasihan; dan sesiapa mencabuli sesudah itu, baginya azab yang pedih”
(2:178).
Contoh ketiga ialah hukuman bagi
penzina:
“(1) Jika pesalah yang melakukan zina itu
mohsan, maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman rejam, iaitu
dilontar dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati.
(2) Jika pesalah yang melakukan zina itu
ghairu mohsan, maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman sebat
sebanyak seratus kali sebatan dan sebagai tambahan hendaklah dipenjara selama
satu tahun.” (Bahagian I, perenggan 11)
Hukuman ini jauh melebihi had
yang ditetapkan Allah yang berbunyi “Perempuan yang berzina, dan lelaki yang
berzina, sebatlah tiap-tiap seorang daripada mereka dengan seratus sebatan,”
(24:2). Itu sahaja.
Menurut al-Quran, hukuman
merejam batu adalah amalan orang kafir zaman dahulu kala seperti zaman Nabi Nuh,
Ibrahim, Shuib dan zaman beberapa orang pemuda yang mencari perlindungan di
dalam gua atau al-kahfi. Nabi Musa
juga takut direjam oleh Firaun.
Menurut catatan sejarah pula,
hukuman merejam batu hingga mati kepada pesalah dalam hal agama telah dimulakan
oleh seorang ulama Yahudi bernama Uzair (9.30) yang hidup kira-kira 2,000 tahun
sebelum al-Quran diturunkan. Apapun, hukuman ini adalah hukuman jahiliah, dan
Tuhan telah bertanya,
“Adakah putusan jahiliah yang
mereka menginginkan? Dan siapakah yang lebih baik putusannya daripada Allah
bagi kaum yang yakin?” (5:50).
Contoh keempat ialah hukuman
bagi kesalahan liwat:
“Sesiapa
melakukan kesalahan liwat, hendaklah dihukum dengan hukuman yang sama seperti
yang ditetapkan bagi zina.” (Bahagian I,
perenggan 17)
Penggubal hukuman ini jelas
tidak menyedari mengenai kewujudan hudud Allah bagi perempuan dan lelaki yang
sedemikian rupa nafsu seksnya. Diturunkan di bawah ini dua ayat al-Quran yang
berkaitan:
1. “Dan perempuan-perempuan
kamu yang melakukan kesumbangan, panggillah empat antara kamu untuk
menyaksikan terhadap mereka; dan jika mereka menyaksikan, tahanlah mereka di
dalam rumah-rumah mereka sehingga kematian mematikan mereka, atau Allah
mengadakan bagi mereka satu jalan” (4:15).
2. “Dan apabila dua orang antara kamu
(lelaki) melakukannya (kesumbangan), maka hukumlah keduanya; tetapi jika
mereka bertaubat, dan membetulkan, maka berpalinglah daripada keduanya;
Sesungguhnya Allah adalah Yang Menerima Taubat, Pengasih” (4:16).
Contoh kelima ialah kesalahan
meminum arak:
“(1) Syurb
adalah kesalahan meminum arak atau sebarang minuman yang memabukkan; dan
sesiapa yang melakukan kesalahan ini, sama ada dia mabuk atau tidak, dan tanpa
mengira kuantiti yang diminumnya hendaklah dikenakan hukuman sebat yang tidak
lebih daripada lapan puluh kali sebatan dan tidak kurang daripada empat puluh
kali sebatan.” (Bahagian I,
perenggan 22)
Firman-Nya: “Sesungguhnya Kami
menurunkan kepada kamu Kitab dengan yang benar supaya kamu menghakimkan antara
manusia dengan apa yang Allah memperlihatkan kepada kamu” (4:105).
Oleh kerana hukuman bagi peminum
arak tidak dijelaskan di dalam al-Quran, maka rasul tidak menjatuhkan sebarang
hukuman mengenainya. Sebaliknya pula dia menyampaikan ayat-ayat Tuhan yang
menyatakan amalan itu adalah dosa besar (2:219), kotor, amalan syaitan dan minta
dijauhkan (5:90), di samping menyebabkan permusuhan dan kebencian antara
manusia, dan minta berhenti daripada meminumnya (5:91). Dengan nasihat ini orang
yang takut kepada Tuhan tentu berhenti daripada minum arak.
Contoh keenam dan terakhir ialah
hukuman bagi kesalahan murtad:
“(3) Sesiapa yang disabitkan melakukan
kesalahan irtidad (murtad), hendaklah sebelum dijatuhkan hukuman ke atasnya
dikehendaki oleh Mahkamah supaya bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang
daripada tiga hari setelah dia didapati salah.
(4) Sekiranya dia enggan bertaubat dan
masih lagi berterusan dengan pendiriannya terhadap perbuatan yang dilakukan
atau perkataan yang disebutkan itu, maka Mahkamah hendaklah mengisytiharkan
hukuman bunuh ke atasnya dan memerintahkan supaya hartanya sama ada diperolehi
sebelum atau selepas dia melakukan kesalahan itu dirampas untuk dipegang bagi
keperluan Baitul-Mal:” (Bahagian I, perenggan 23)
Ini merupakan satu lagi hukuman
yang dipelajari daripada ulama jahiliah bernama Uzair yang Allah gelar “anak
Tuhan” (9:30) kerana memandai-mandai membuat hukum agama.
Allah sendiri akan
menghukum orang murtad seperti yang tersurat di dalam firman-Nya yang
bermaksud,
“Wahai orang-orang yang
percaya, sesiapa antara kamu yang berpaling (murtad) daripada agamanya, maka
Allah akan mendatangkan satu kaum yang Dia mencintai, dan mereka
mencintai-Nya; rendah diri terhadap orang-orang mukmin, keras terhadap
orang-orang yang tidak percaya; mereka berjuang di jalan Allah, dan tidak
takut akan celaan mana-mana pencela. Itulah pemberian Allah; Dia memberinya
kepada siapa yang Dia mengkehendaki; dan Allah Merangkumi, Mengetahui”
(5:54).
Seperti itu juga akan terjadi
kepada orang Melayu jikalau mereka tidak kembali kepada ajaran Islam sebenar
yang terkandung di dalam al-Quran. “Apa, adakah aku akan mencari sebarang hakim
selain Allah? Dan Dia yang menurunkan kepada kamu Kitab yang cukup jelas; …..
maka janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu” (6:114)